Selasa, 9 April 2013
Mr Right vs Mrs Always Right
Petang2 begini, sambil mengadap secangkir cappuccino dicafe Komplek Keraf Jalan Conlay, mata ku terus menyorot sekumpulan wanita muda, yg baru sampai turun dari bas, mungkin mereka rombongan dari mana2 negeri barangkali. Mata buaya aku pun semakin nakal bila ada antara wanita2 itu memandang kearahku.
Apa yg mereka pandang yek ... apa aku kelihatan seperti alien dimata mereka ... atau aku sememangnya ada iras2 Tom Selleck atau Ben Affleck agaknya. Hahaha ... perasan pulak aku ... namun pemandangan sebegini memang dapat membuat aku tenang ... & keluar dari kemelut permasalah Lahad Datu yg sudah seperti benang kusut itu.
Waktu aku belajar di UM dulu, aku pernah ditugaskan untuk membuat assignment secara berkumpulan mengenai buku 'man from mars, woman from venus'. Buku tersebut ditulis oleh John Gray PhD dan menerangkan bagaimana lelaki dan wanita mempunyai sifat yang berlainan dan bertindak dengan cara yang berbeza.
Ini menunjukkan bahawa lelaki sukar untuk memahami wanita kerana perbezaan tersebut dan sebaliknya. Tidak kira sama ada lelaki mahupun wanita, masing-masing mempunyai pendapat, pendirian serta cita rasa yang berbeza antara satu sama lain. Oleh itu, aku sangat mencadangkan untuk sesiapa yang mempunyai masalah dalam perhubungan percintaan atau pun berumah tangga untuk membaca buku tersebut.
Lelaki Dari Planet Marikh, Wanita Dari Planet Zuhrah.
Lelaki dan wanita adalah sangat berbeza dalam cara pemikiran, tindakan dan perlakuan. Kefahaman mengenai perbezaan ini dapat membantu dalam perhubungan. “Kita sering tersalah anggap bahawa cinta pasangan kita akan balas dan bertindak sama seperti tindakan kita apabila cintakan seseorang”.
Wanita mengadu lelaki tidak mendengar luahan mereka dan cuba mencari jalan untuk menyelesaikan masalah mereka. Lelaki pula mengadu wanita sering cuba membetulkan mereka dan cara mereka melakukan kerja. Lelaki menilai diri melalui kekuatan, persaingan dan pencapaian. Mereka perlu mencapai kejayaan dengan daya mereka sendiri, manakala perempuan menilai melalui perasaan dan kualiti perhubungan mereka.
Sebenarnya ada kekeliruan disini ... Wanita tidak patut cuba menasihatkan lelaki kerana ia akan kelihatan seperti kritikal dan tidak dapat diterima oleh lelaki. Lelaki pula perlu mendengar masalah wanita dengan tidak mencadangkan penyelesaian tetapi dengan mendengar untuk memahami apa yang telah mereka lalui.
Lelaki menghadapi stress dengan memasuki ruang persendirian mereka, dimana mereka akan menjadi lebih fokus dan tenang. Manakala wanita lebih teruja dan ia melibatkan perasaan,mereka mahu bicara tentang masalah mereka. Kerana itu wanita lebih cenderung menjadi 'ahli mesyuarat tingkap' ... & tidak mustahilnya akan mempunyai habit mengumpat & bergossip tak habis2 ...
Biasanya lelaki pula cenderung tidak membebankan masalah mereka pada orang lain. Mereka rasa perlu untuk menyelesaikan ia bersendirian. Pada ketika itu, mereka akan senyap, hilang daya tumpuan pada persekitaran dan kelihatan terasing, kurang respon dan bersifat pelupa. Wanita mungkin berkecil hati tentang perkara ini tetapi perlu bersabar atas sifat lelaki tersebut. Cuma wanita harus hati2 juga, jangan sampai para lelaki mereka 'diam2 ubi berisi'. Perhatikan, jangan sampai dalam tandas pun dia bawa masuk hp .... adalah benda yg tak kena tu ... Masa tu, siap2, stand-by, Butang Baju Melayu kena simpan jauh2 ... hahaha ...
Wanita pula lebih cenderung untuk berkongsi masalah dengan orang lain sebagai tanda kepercayaan. Mereka terbuka dalam soal berkongsi perasaan kecewa dan kekesalan. Wanita bukan cuba mencari penyelesaian segera tetapi hendak didengari mengenai masalah mereka dahulu untuk difahami. Apabila wanita cuba bicara tentang masalah mereka, pada pandangan pihak lelaki pula terasa yang mereka diberi tanggungjawab untuk memberi penyelesaian pada masalah tersebut. Di sini lelaki harus faham dimana mereka tidak perlu mencanangkan sebarang penjelasan atau penyelesaian tetapi apa yang perlu dibuat adalah mendengar dan memahami apa yang diluahkan dari hati wanita. Tipsnya mudah ... sesekali lelaki harus jadi 'telinga kuali'
Persoalannya ... Bagaimana Untuk Memotivasikan Pasangan Sendiri.
Kedua-dua pihak dimotivasikan dengan rasa cinta. Lelaki rasa dicintai apabila mereka diperlukan oleh kekasihnya, wanita rasa dicintai apabila mereka dibelai. Bagi menyemarakkan rasa cinta lelaki harus sentiasa dipenuhi dengan perasaan dipercayai dan dihargai. Wanita perlu kerap menunjukkan sesuatu yang membuat lelaki rasa diperlukan oleh mereka. Wanita pula memerlukan kasih sayang dan dijaga di mana lelaki harus sentiasa menunjukkan perasaan empati dan cinta kasih.
Bahasa dan ayat antara lelaki dan wanita adalah sama ... tetapi maksud yang disampaikan masing-masing adalah berbeza dan sering mengelirukan. Wanita bicara secara kiasan dan menggunakan kata umum. Jika lelaki bicara, mereka akan maksudkan secara terus, spesifik dan ini akan membuatkan mereka biasanya mentafsirkan kata-kata wanita sebagaimana ia maksudkan dengan kata sebenar. Di sini puncanya timbul kekeliruan pada pihak lelaki terhadap kata-kata wanita dan wanita pula akan menuduh lelaki tidak memahami mereka.
Lelaki bicara hanya untuk menyampaikan maklumat. Wanita pula bicara untuk banyak sebab. Mereka sering mengadu yang lelaki kurang bercakap. Wanita harus faham jika lelaki itu sedang dalam proses mengasingkan diri iaitu dengan melarikan diri sebentar atau keluar dengan kawan-kawannya, dia harus diberi peluang untuk berbuat demikian. Manakala lelaki pula harus menerangkan kepada pasangan mereka mengapa mereka perlu tempoh pengasingan tersebut..
Lelaki ini terkadang seperti getah. Lelaki boleh mendekati sangat rapat kepada pasangan mereka kemudian dia akan lerai sebentar. Maksudnya, setelah mereka sudah memenuhi hubungan mesra pada pasangan, mereka akan cenderung untuk rasa bebas dalam diri mereka dan menginginkan autonomi. Kemudian setelah mereka memenuhi perasaan tersebut, mereka ingin kembali untuk mendapatkan hubungan mesra itu kembali. Perkara ini akan sentiasa bertukar-arah antara keperluan hubungan mesra dan autonomi. Apabila seorang lelaki itu mengasingkan diri,dia harus diberi kebebasan sementara sebelum dia kembali pada pasangannya semula.
Wanita pula, ada-kalanya seperti ombak. Perasaan wanita naik turunnya seperti ombak. Pada perasaannya kemuncak, mereka mempunyai rasa kasih sayang yang cukup untuk diberikan pada pasangannya. Tetapi apabila perasaan itu menurun, mereka tidak upaya untuk menghargai dan menerima pasangan mereka telah lakukan. Apabila saat perasaan ombaknya memecah seorang lelaki tidak harus bertindak untuk membantu mereka. Lelaki harus mendengar, terima terhadap perasaan mereka dan sampaikan perasaan keyakinan, jaminan terhadap mereka.
Pada dasarnya, setiap wanita memerlukan penjagaan, kefahaman, hormat, kesetiaan, perakuan dan keyakinan dari pasangan mereka. Lelaki pula memerlukan kepercayaan, penerimaan, penghargaan, sanjung, pengesahan dan sokongan oleh pasangan mereka. Adalah terbaik jika kita dapat memberikan apa yang diperlukan oleh pasangan masing-masing.
Justeru dalam hal ini, pasangan harus mengelakkan diri dari 'Perselisihan Faham'. Ia harus dielakkan selagi boleh, berunding jangan berbalah. Apabila lelaki rasa tercabar, dia akan fokus untuk buat dirinya rasa benar dan lupa untuk bertindak sifat lebih penyayang terhadap pasangan mereka. Dia akan membuatkan pasangannya lebih marah dan tidak membenarkan apa perasaan yang dialami oleh wanita itu ketika itu. Biasanya kes ini boleh bermula dalam konteks lelaki yang cuba menyelesaikan masalah wanita walaupun niatnya baik. Punca yang remeh akan boleh mengakibatkan perbalahan yang tidak berkesudahan. Kita harus terima yang pasangan kita bukan sempurna.
Lagi satu ... jangan kedekut memberikan pujian kepada pasangan.
Lelaki percaya dia mendapat kredit yang tinggi dengan melakukan sesuatu yang besar contohnya memberi jambangan bunga yang banyak. Tetapi bagi wanita, semuanya tak kira banyak atau sikit ia hanya diberi satu nilai kredit yang sama nilainya. Dalam pandangan wanita mereka telah merasakan buat sesuatu untuk pasangan mereka dan menilai kredit berdasarkan pandangan mereka sendiri. Dengan melakukan banyak tindakan yang mereka rasakan sebagai kasih sayang, mereka akan memberi markah banyak untuk diri mereka sendiri. Sebab itu mengapa ramai wanita mengadu yang mereka rasakan telah memberi banyak kasih sayang tetapi tidak menerima yang setimpal oleh pasangan mereka. Pada pandangan lelaki pula mereka telah melakukan apa yang mereka rasa cukup dan mungkin lebih, terutama setelah melakukan satu perkara yang besar buat pasangan mereka.
Bagaimana Untuk Berkomunikasi Dalam Konflik Perasaan?
Perasaan marah dan kesal perlu disampaikan dengan cara yang lebih penyayang. Surat atau kata cinta adalah antara satu cara baik untuk meluahkan perasaan negatif dengan lebih rasa kasih.
Ada 3 cara bagaimana untuk meminta dan terima apa yang dipintakan:
* Tanya dengan baik-melibatkan masa yang tepat dan tona yang tidak mendesak.Buat secara ringkas dan berterus terang.
* Praktik untuk cuba minta sokongan atau bantuan walaupun sudah menjangkakan jawapannya tidak atau tidak perlu.
* Minta dengan tegas-antara kunci penting dalam cara ini adalah dengan berdiam diri setelah meminta.
Untuk berjaya dalam percintaan, kita harus memahami terdapat banyak musim dalam percintaan. Adakala naik dan adakalanya surut. Kita tidak boleh menganggap pasangan kita mempunyai tahap perasaan cinta yang sama seperti kita. Kita harus mempelajari kasih sayang pasangan kita dari luar dan juga dalam.
Ada orang bilang, wanita itu seperti gitar ... kerana mereka hanya melihat fizikal wanita itu sahaja. Namun bagi aku, wanita itu seperti piano ... mereka ada banyak nada, irama ... viarasi chord yg tinggi rendah ... serta pitching yg nyaring & ada kalanya mendatar .... Jadi tinggal kita lelaki sajalah, yg harus tahu memainkan butir2 piano itu ... agar dapat melahirkan muzik (kehidupan) yang harmoni ...
Sumber : https://m.facebook.com/profile.php?id=403142033068693&__user=100000800061882#!/profile.php?id=403142033068693&__user=100000800061882
FB :VAT 69 - Perjuangan Semalam
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.